Selasa, 14 Oktober 2008

Lagi-Lagi Kisah Shah Rukh Khan !!! - Malaysiakini

Kesian kat seniman di tanahair..elokla tu, pasni kamu semua pakat-pakat buat piket kat depan rumah Ali Rustam pulak....

KUALA LUMPUR: Penganugerahan darjah kebesaran Melaka, Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan sempena hari jadi ke-70 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, Sabtu lalu, dibantah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, yang mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, semalam berkata ramai penggiat seni termasuk pelakon menyuarakan rasa tidak senang dan mempersoalkan jasa aktor itu sehingga layak diberi anugerah yang membawa gelaran Datuk.

Mustapha berkata, tindakan kerajaan Melaka itu seperti membelakangkan jasa artis tempatan yang banyak berkorban menaikkan nama persada filem tanah air, apatah lagi sumbangan artis veteran sering kali dilupakan.

Menurutnya, beliau menerima banyak panggilan telefon dan SMS daripada penggiat seni yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka.


“Ini suara penggiat seni yang bukan sahaja terhina, tetapi tertanya apa jasa pelakon itu kepada negara kita sehingga layak menerima anugerah itu. Jika diikutkan, tanggungjawab kami juga sentiasa berusaha mempromosikan negara sendiri ke peringkat antarabangsa.

“Malah masih ramai artis tempatan kita yang berjasa pada negara dan mereka terus berjuang untuk kemajuan perfileman tanah air.

“Persoalannya, apakah anugerah ini diberi secara sukarela, sesuka hati atau disanjung dengan baik atas jasa mereka kepada negara ini. Seharusnya penilaian dibuat dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui penganugerahan itu hak kerajaan negeri dan tiada hak untuk menggesa ia ditarik balik.

“Apa yang kami turut kesalkan ialah tindakan pelakon itu tidak hadir ketika majlis penganugerahan yang dianggap satu penghinaan.

“Kami bukan kumpulan mendesak kerajaan negeri, tetapi tanggungjawab bersama untuk bersuara mengenai perkara ini,” katanya.

Hadir sama bagi menyokong pendirian Seniman itu, antaranya Timbalan Presiden Seniman, Ahmad Idham Ahmad Nadzri; Datuk Aziz Sattar, Datuk Jalaluddin Hassan, Jalil Hamid, Zulkifli Zain, Normala Omar, Arash Mohamad, Rusdi Ramli, Harun Salim Bachik, Anne Abdullah, Rahim Jalani dan Dilla Ahmad.

Seniman juga menghantar surat bantahan pada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkaitan isu itu.

Shah Rukh Khan, 43, adalah antara 77 penerima anugerah DMSM yang menjadi anugerah keempat tertinggi membawa gelaran Datuk.

Nama Shah Rukh Khan sebagai penerima anugerah dikatakan dicadangkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilaporkan berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi Melaka melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat di seluruh dunia.

Tiada ulasan: