Fahri Abdillah al-Masri
"Kau lihat apa dah jadi kepada Perak dan Selangor? Itulah akibatnya apabila membiarkan selain daripada Umno memerintah," kata Ramlan, anak buah Menteri Dato' Syahid Hamdi kepada Roslan dengan ekor pandangan matanya penuh bernafsu hantu. Roslan hanya diam membatu.
Roslan yang masih muda itu mati akal untuk menjawab hujah Ramlan yang memang tua dengan pengalaman politik. Ramlan dahulunya Pas dan dia jadi 'murtad' kerana gagal mendapat jawatan yang diinginkannya dalam parti. Barangkali didorong dan dihasut rasa sebal dan marah, maka Ramlan kini bergantung paut pula kepada dahan Umno kerana kononnya mahu mengembangkan Islam Hadhari di bumi bertuah ini.
Memang sedih ketika mengenangkan banyak kekuatan Melayu yang tumbang. Roslan, seorang anak muda lulusan USM pun terasa begitu juga. Tapi, mahu dibuat bagaimana lagi? Ramlan yang kuat menyokong Abdullah Ahmad Badawi itu tidak pernah menaruh kekesalan terhadap dosa-dosa para pemimpinnya sendiri. Beliau tidak pernah menghukum Abdullah dengan kata-kata.
Apa-apa yang terlintas dan terkeluar daripada lidahnya cuma maki hamun kepada pembangkang, dan selebihnya mengangkat darjat Islam Hadhari tanpa sebarang kesilapan langsung di pihak parti penguasa. Mereka bercanda dan berbual mengenai masalah masa depan negara secara santai saja pada mulanya.
Tapi, akhir-akhir ini, bualan itu berubah seperti pergaduhan dewa-dewa hingga meletupkan lahar sengketa antara mereka berdua. Puncanya, cuma satu. Jalur percakapan Ramlan itu berbaur dendam dan berpuas hati dengan nasib dan masalah yang menimpa rakyat Perak dengan sebab peralihan kuasa lama kepada kuasa baru.
"Itulah akibatnya memilih selain Umno," tambahnya lagi, mengulang ayat-ayat bersifat menghukum. "Sekarang, majoritinya bukan Islam yang membuat keputusan dalam mesyuarat exco dan menteri besar tidak dapat memainkan peranannya."
Matanya membulat bersinar garang. Denyut marah merayap ke urat kepala lalu menebas tangkai jantung Ramlan. Ketika itu bunyi tangisan alam mengalir dalam sebak petir dan guntur silih-menyilih lalu membungkus kegelapan alam. Hujan Kuala Lumpur tidak hanya mengundang pilu dan hati hiba penduduk kota kerana tidak dapat menunaikan urusan harian mereka, malah bagi Roslan dan Ramlan yang cekal dan tabah bergebang hal politik, hujan mengusir kemarahan dan meredakan ketegangan yang berombak di dada.
"Abang kena faham," dengan tenang Roslan melipat hujahnya. "Sebelum ini, ahli-ahli parti pembangkang telah pun lama mengundi pembangkang, tapi mereka tak pernah menang. Tiba-tiba, dalam pilihan raya baru-baru ini pembangkang menang. Kenapa agaknya?"
Ramlan terkebil-kebil. Deruan angin yang menghempas jendela rumah sewa mereka di Jalan Raja Alang tak sedikit pun mengganggu tumpuannya. Kembara pengalaman politiknya terlalu tinggi dan dia cuma mahu tahu apa hujah terbaru teman serumahnya itu. Pada jendela yang terbuka, mata hati Roslan terkial-kial pula menadah harapan dari langit tertinggi, semoga teman serumahnya dapat menyedari kesilapan mereka sendiri.
"Yang undi pembangkang hingga Umno kalah adalah orang-orang Umno sendiri. Jangan salahkan pembangkang. Ini kerana dengan undi ahli pembangkang selama ini pun, mereka tidak pernah berganjak dan mengusir Umno daripada Perak dan Kedah.
Marahkan ahli Umno sendiri
"Yang perlu abang dan Umno marahkan ialah ahli-ahli Umno yang mengundi pembangkang sendiri. Cuma, bersediakah abang dan Umno mendengar kembali hujah-hujah kenapakah undi mereka bertukar kiblat baru-baru ini?" Roslan melepaskan geram yang bersarang di dadanya. Padanya, baik Umno dan teman serumahnya itu tak habis-habis menyalahkan pembangkang di atas kejatuhan mereka selama ini. Tidak pernah mereka mengkaji apakah sebabnya ahli-ahli mereka sendiri di Kedah dan Perak telah mengundi pembangkang.
Benar kata pujangga. Bumi yang kita huni selama ini telah lama menyimpan sekian banyak khazanah derita di perut batinnya. Dan tiada siapa pun yang mengetahui apa yang sedang berlaku di bawah bumi. Tahu-tahu saja bumi akan begegar dan kiamat tiba. Dan, Umno pun begitu juga. Tak pernah peduli apa yang ada di sebalik jantung hati ahli-ahlinya. Tahu-tahu sahaja mereka tumbang.
Ramlan patah hujah dan dia tertunduk sebentar mendengar perkataan Roslan itu. Mata hatinya menjala kerdipan bintang di balik tirai awan yang telah lama membasahkan mimpi dara-dara. Ketika itu sudah dinihari jam 3 pagi. Mereka berbual hal politik itu sejak Isyak tadi. Mulanya, tema perbualan mereka beralun lembut dan tiba-tiba ia membadai setinggi gunung, sehebat tsunami.
Pada waktu ini, Ramlan teringat kembali sejarahnya ketika dia berpentas menjadi pemimpin pelajar. Saat berpidato sekali pun, matanya asyik memanah kepada kelibat Hazwani, seorang siswi Fakulti Pengajian Media, Universiti Malaya. Wajah siswi itu bagai purnama pada malam Nisfu Sya'ban dan saling tidak tumpah bagaikan rupa paras Nawal Zoughbi, seorang penyanyi Lubnan.
Sehebat garangnya api cintanya bergelora, sehebat itu juga Ramlan berpidato dengan semangat menunjuk-nunjukkan jaguhnya pada Hazwani. Biarlah api cintanya terbakar sehangat cinta antara Samson dan Delilah. Cuma, tidak disangkanya Delilah curang pada cinta mereka. Bapanya Ketua Bahagian Umno. Cinta mereka terputus suku jalan. Dan, hal itulah yang membawa dirinya merana dan akhirnya dirawat duka laranya ke dalam Umno pula. Cinta mereka terhalang dengan sebab perbezaan parti.
Siswa UiTM mengamuk?
Tapi, kekecohan percekcokan 'chaos' pada zamannya itu tidaklah 'sehebat' dan seganas aksi demo mahasiswa UiTM yang 'berjihad' untuk menemui syahid dalam menghalang sebarang usaha memasukkan kuota 10 peratus kemasukan pelajar bukan Bumiputera di dalam universiti mereka. Apabila mahasiswa itu mula merayakan pesta huru-hara, dunia ini bagaikan syurga perusuh.
Ramlan menghela nafasnya yang entah kali ke berapa. Padahal dia memang menyedari hakikat betapa meluatnya orang-orang Umno ke atas Abdullah Ahmad Badawi. Perasaan menyampah yang asalnya bergerak dengan alunan ombak memutih di gigi pasir itu akhirnya dengan garang menyerang, merempuh tembok keangkuhan dan memecahkan bingkai kesetiaan ahli Umno itu sendiri pada akhirnya.
"Tetapi, kenapa pembangkang enggan bersatu apabila Umno menawarkan perpaduan, menyerahkan kerusi pemerintahan kepada mereka pada negeri-negeri tertentu?" Ramlan rupa-rupanya enggan mengalah walaupun hatinya cedera parah dipukul ombak kata-kata dari Roslan tadi. Rumah batinnya terlempar dan jadi tersesat haluan dalam belantara resah ini. Dia mula menggunakan hujah lain.
"Saya tidak fikir bahawa Umno jujur dan ikhlas ketika mereka membuat tawaran itu. Mereka sebenarnya mahu memecahkan ikatan antara Pakatan Rakyat. Jadi, kalau mereka tidak menang, mereka akan cuba memecahbelahkan ikatan PR. Sebab itulah pembangkang menolak tawaran tersebut," kata Roslan lagi. "Itu cuma perangkap, padahal Umno bukannya mahu tolong sangat."
Pada riak-riak wajah Ramlan masih belum nampak tanda-tanda isyarat bahawa dia akan berhenti dan mengalah. Usia mudanya telah lama menghilang ditelan waktu dengan penuh sia-sia dalam kepura-puraan dalam perjuangan yang entah ke mana bersama Umno. Dia tidak sedikit pun mencebik amalan rasuah dan politik wang, misalnya. Jadi, bagaimana sikap ini boleh mendatangkan rasa hormat pada hati rakyat.
Roslan teringatkan pengalamannya ketika menghadiri program di Persada Johor Bahru Mei lalu. Dalam bengkel tersebut, seorang pensyarah dengan terang-terang mengeluarkan saki-baki daki amarah yang lama terkepung dan terkurung dalam dadanya apabila dia mendengar seorang perwakilan berkata, "Umno patut dibubarkan, parti itu sudah tidak relevan."
"Tarik balik kata-kata awak, saya tidak setuju," ujar pensyarah dari Universiti Malaya tersebut. Pantang betul dia mendengar pandangan sebegitu. Padahal, dia sendiri meminta perwakilan bercakap apa saja dan bersetuju kebebasan bersuara menjadi teras perbincangan dalam bengkel tertutup pada malam itu. Pada Roslan, itulah pengalaman terbarunya melihat sesama Umno berdebat secara 'sihat'. Esoknya, ketika sarapan, dia berpura-pura menjadi ahli Umno untuk mengorek rahsia-rahsia dalaman perwakilan.
"Kami sendiri dah minta Pak Lah meletakkan jawatan. Dia setuju akan turun, tapi masalahnya dia nak bagi kepada Najib pun dia tidak mahu. Sebab itu Muhyiddin sekarang sudah mula tunjukkan kekuatannya dalam berbicara," kata seorang ahli Kelab Pengundi Melayu di Kg. Baru, Kuala Lumpur. Roslan mengangguk-angguk. Namun, itu cerita khabar angin yang bertiup sekitar Mei lalu.
Peranan Umno veteran
Malam itu, tatkala dia sedang makan malam, kebetulan dia sedang duduk semeja dengan seorang ahli Umno veteran berketurunan syed dari Johor. Wajahnya tenang perawakannya bersih. Dia bersikap cermat dan berhati-hati apabila menyusun bicara. Roslan amat senang kepada perwatakan seumpama itu. Banyak kisah yang diperbualkan. Namun, ada sesuatu yang mencuit hatinya.
"Sekarang, hubungan raja-raja Melayu dengan rakyat semakin kuat. Raja-raja sudah dapat bertemu dan bermuafakat sesama mereka. Sebab itu MB Terengganu dan Perlis boleh jatuh," kata tuan syed. "Kami terdiri daripada golongan profesional, pensyarah yang selalu bertemu secara rahsia dengan raja-raja Melayu ini."
Perlahan-lahan baru dia mengerti. Sejak dulu lewat tulisannya, dia dapat menduga bahawa kejatuhan kedua-dua menteri besar itu didalangi pihak tertentu. Cuma, dia tak tahu siapa mereka. Kehadirannya di Persada telah menjawab segala-galanya. Mereka ini bergerak ala Freemason; sulit dan terancang.
Tuan syed tersenyum mendengarkan celoteh Roslan apabila disamakan gerakan mereka dengan kumpulan purba itu. Lalu disambungnya perbualan, "Kalau tidak bergerak seperti itu, susah kita nak tumbangkan Umno. Kami, Umno veteran sudah tidak dapat menerima perbuatan pimpinan sekarang."
"Ini semua kerja-kerja kami," tambahnya lagi. "Raja dah mula bersatu dengan rakyat untuk menentang pemimpin yang zalim. Dan, raja-raja sekarang pun sudah mula ada kesepakatan antara mereka."
Dan, hal itu pula yang jadi modal bualan Roslan kepada Ramlan kini. Bahawa yang menolak Umno melalui undi bukan kalangan Umno bawahan saja, malah Umno veteran pun sanggup membuat rancangan sulit bersama istana untuk membuang Umno daripada pemerintahan di bumi Malaysia ini.
Apabila Roslan berhujah bahawa Umno di bawah pimpinan Abdullah kini dihentak dari belakang oleh kalangan umno veteran, sekali lagi Ramlan tertunduk. Mungkin kesal kerana tidak disangkanya bahawa yang meluat kepada Umno sekarang bukan orang lain, malah orang-orang Umno pihak atasan yang lama-lama juga.
Ramlan menggosok leher yang seakan-akan mahu patah akibat dihentak penjelasan dan soalan bertalu-talu daripada temannya itu. Khabar yang didengarnya daripada Putrajaya memang seperti itu juga. Dia mengaku temannya itu walaupun muda, tetapi sudah tahu banyak cerita. Dia tak tahu apakah hal ini mahu diriwayatkan atau tidak kepada Roslan. Tapi, untuk apa dia menyimpan rahsia?
"Aku tak tahu sama ada kau tahu atau tidak. Sekarang ini pun, kalau pihak istana mahu bercakap, mestilah melalui istana Perak dan bukan semuanya yang bercakap," kata Ramlan. "Jadi, biar cuma ada satu suara saja, agar tidak bercampur-baur. "
Roslan tidak tahu apakah teman debatnya itu sudah mahu ambil iktibar atau tidak. Bukan saja Umno bawahan, malah Umno atasan pun sudah menolak rakan mereka sendiri. Tapi, kalau pegawai Putrajaya seperti Ramlan belum mahu sedar diri, mustahil Abdullah akan sedar diri. Demikianlah fikir Roslan. Jam menunjukkan angka 4 pagi. Ayam bersahutan dan kegelapan malam yang membungkus alam menebarkan wajah dingin yang menyeramkan hari-hari esok. Ya, hari esok yang dinantikan semua dengan penuh waspada.
3:04 p.m, 20 Ogos 2008