Rabu, 5 Januari 2011

SLOGAN UMNO DAHULUKAN RAKYAT, HALWA TELINGAN PILIHANRAYA

Slogan "Umno Dahulukan Rakyat" akan diperkasakan pada 2011 bagi memberi mesej jelas bahawa Umno sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam hal pembangunan rakyat dan negara, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan. PAS berpandangan slogan Umno dahulukan rakyat hanyalah halwa telinga sahaja untuk melalikan rakyat di negara ini. Ia tidak lebih daripada modal pilihanraya yang sudah hampir, bukan sebagai satu tanggungjawab yang berterusan daripada seorang pemimpin.

Ketika slogan ini berkumandang di dada akhbar dan kaca televisyen, rakyat bawahan mengeluh dan sesak dada ketika membawa anak-anak daftar sekolah di awal tahun. Cuba bayangkan anak yang belajar di darjah enam terpaksa berbelanja hampir RM200, manakala sekolah menengah yang berasrama penuh pula ada yang mencecah sampai RM1000.00. Apa erti dengan slogan yang indah, hakikatnya rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang, semua gara-gara pemimpin yang rakus dan boros.

Apakah rakyat kenyang dengan slogan yang indah, apabila kenaikan harga barang barang mendadak naik, seperti bawang merah daripada RM3.50 sen sudah mencecah kepada RM12.50 sekilo. Semua peniaga makanan sudah menaikkan harga 10 peratus kerana kos bahan mentah yang naik mendadak . Persatuan kedai kopi Selangor/Wilayah Persekutuan menaikkan teh dan kopi susu 20 sen segelas mulai 1 Januari 2011.


Tarif letrik sudah diersetujui oleh kabinet untuk naik, hanya menunggu keputusan BN menang PRU 13. Sekarang tidak berani naik kerana takut rakyat hukum dalam pilihanraya. Alasan kenaikan kerana kos operasi meningkat. Ini semua gara-gara Tenaga Nasional ( TNB) yang terpaksa membayar tenaga kepada pembekal kroni walaupun TNB tidak pakai sebanyak yang dijanjikan di bawah perjanjian ini yang tidak memberi unsur ekonomi langsung. TNB dikehendaki membeli tenaga daripada IPP (penjana tenaga bebas) pada harga yang lebih tinggi berbading dengan kos penjanaan sendiri. Apabila ini terjadi maka rakyat menjadi mangsa walaupun perjanjian yang yang merugikan wang rakyat. Bagi pemimpin mereka tidak kisah kerana bil eletrik mereka, rakyat yang membayar.
PAS ingin mengingatkan kepada rakyat undi BN bererti menempah lubang maut, yang akan membawa kesengsaraan dalam hidup.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

EKSPERIMEN RAKYAT MEMILIH PAKATAN RAKYAT PADA PRU 2008 ADALAH TEPAT

Gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat jangan membuat ekperimen dalam politik untuk menukar kerajaan yang sedia ada, kerana ia akan mendatangkan masalah kepada rakyat pada masa akan datang. PAS berpandangan ucapan Datuk Seri Najib sempena tahun baru 2011 satu pemikiran ke belakang bukan kehadapan walaupun beliau ini terkenal degan slogan retorik, namun dalam tindakan beliau masih berfikiran sempit seolah-olah negara ini hanya boleh ditadbir oleh BN sahaja.

PAS hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, tugas pemimpin ialah berfikir untuk menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat. Gaji yang sudah lumayan diberikan kepada kepada pemimpin negara adalah wajar dibalas balik dengan merangka strategi untuk kebaikan rakyat bukan sebaliknya.

PAS berpendapat rakyat yang membuat eksperimen untuk menukar kerajaan negeri dalam Pilihanraya Umum 2008 dahulu adalah tepat. Kebahagiaan rakyat yang dapat diukur seperti banyak program-program kebajikan untuk rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah untuk warga emas, bantuan sekolah agama rakyat, Tamil dan Cina, bantuan kemasukan universiti, walaupun menghadapi kekangan kewangan di peringkat negeri. Kesemua ini tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno sepanjang 53 tahun memerintah. Jika pemikiran yang ada pada pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini rakyat tidaklah susah sebegini rupa dengan tekanan hidup yang teruk, kuasa membeli semakin menurun, kualiti hidup sudah merosot.

Apakah salah rakyat membuat eksperimen untuk beralih pemerintah yang selama ini mengkhianati amanah rakyat? Akibat rakyat masih belum buat ekperimen untuk menumbangkan Barisan Nasional di peringkat pusat maka rakyat dibeban dengan cukai perkhidmatan 6% daripada 5%. Barang makanan naik 10%, Persatuan Peniaga Kedai Kopi Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menaikkan kopi dan teh susu sebanyak 20 sen mulai 1 Jan 2011. Apabila barang naik menteri cuba hendak tunjuk hero bela rakyat dan marah kepada peniaga, pada hal yang buat fasal ialah pemimpin BN yang bertindak menaikkan minyak petrol walaupun negara kita pengeluar minyak.

Eksperimen yang dibuat oleh rakyat sehingga menumbangkan kerajaan BN telah menyebabkan pelabur asing yakin dengan kemampun kerajaan Pakatan Rakyat, buktinya pada
21 Okt 2010 - Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui "Negeri yang paling tinggi menerima kemasukkan FDI adalah Selangor dengan pelaburan sebanyak RM5.66 bilion, yang kedua tinggi adalah Johor iaitu di bawah kerajaan Umno-BN, yang ketiga dan keempat adalah Pulau Pinang dan Kedah manakala Perak pula di tempat yang kelima”.

PAS hendak berpesan kepada Presiden Umno sudah cukuplah Umno BN mengkhianat amanah rakyat, dan janganlah ugut rakyat, mereka sudah mempunyai jiwa merdeka dan tahu beza mana kerajaan yang amanah dan kerajaan yang bernanah.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat