Jumaat, 2 Januari 2009

PESTA SEKS KENA SERBU - Malaysiakini



Pelakon, pembaca berita televisyen antara 26 ditahan positif dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon wanita dan seorang penyampai berita wanita sebuah stesen televisyen swasta, ditahan bersama 24 orang dalam pesta seks dan dadah yang diadakan sempena sambutan tahun baru di sebuah hotel di Jalan P Ramlee di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 3 pagi di sebuah bilik yang ditempah khas di tingkat 11 hotel berkenaan, polis turut menemui sejumlah dadah pelbagai jenis seperti kokain, syabu, ketamin dan pil ecstacy serta puluhan tin minuman keras dan kondom yang belum digunakan.

Pesta itu dipercayai dianjurkan sepasang suami isteri berumur dalam lingkungan 20-an yang baru melangsungkan perkahwinan, tiga minggu lalu.

Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan pesta itu dihadiri kenalan pasangan berkenaan melalui jemputan khas dalam rangkaian laman web friendster.

Menurut sumber, ketika serbuan tiga pasangan didapati berada di atas katil, manakala selebihnya sedang berhibur dalam keadaan separuh sedar.

Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara berumur 21 tahun turut ditahan kerana dipercayai menjadi pembekal dadah untuk pesta itu.

Semuanya 18 lelaki dan lapan perempuan berumur antara 18 dan 31 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, enam lelaki dan tiga wanita termasuk pelakon dan penyampai berita itu didapati positif dadah selepas menjalani saringan pertama ujian air kencing.

Penyampai berita itu dikatakan akan melangsungkan perkahwinan, minggu depan, manakala pelakon berkenaan membintangi beberapa drama yang disiarkan televisyen swasta itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, ketika dihubungi berkata sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur serta cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras membuat serbuan itu hasil intipan dan maklumat orang ramai.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk diambil keterangan.

Bagaimanapun, 17 orang dibebaskan dengan jaminan polis manakala sembilan lagi yang positif dadah termasuk pelakon dan penyampai berita itu direman dua hari dan akan didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, sambutan malam tahun baru di Bukit Bintang turut dicemari insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan remaja.

Bagaimanapun, anggota polis bertindak pantas meleraikan pergaduhan itu dan menahan kumpulan terbabit.

p/s : Antara artis yang dikatakan terbabit ada dinyatakan di dalam web Oh bulan ..Saya buka mahu mencari publisiti terhadap blog ini tetapi lihatlah, mereka yang ditangkap ini gagal menonjolkan contoh dan akhlak yang baik kepada masyarakat umumnya di Malaysia...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hanchusss...sedarkanlah mereka ini semua....