Sambutan tahun baru yang diadakan serentak bagi 1430 Hijriah dan 2009 Masihi dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Dataran Stadium.
Dan selepas itu paluan gendang oleh pelbagai kaum dimulakan mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India.
Agak menarik juga apabila tempat duduk penonton di dalam Stadium Sultan Mohammad Ke-IV diasingkan antara lelaki dan wanita serta keluarga.
Tema sambutan tahun ini iaitu 'Hijrah Dirai,Masehi Dinanti'
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, acara yang dipersembahkan berasas garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri mengikut Enakmen Kawalan Hiburan.
Katanya, penerapan unsur-unsur pendidikan dan hiburan alternatif bertujuan mengajak masyarakat terutama di kalangan muda mudi berhijrah kepada kebaikan.
"Program ini diharapkan menjadi satu pendedahan baru kepada umum agar tidak menjadikan program sambutan tahun baru sebagai tempat menyuburkan maksiat dan gejala tidak sihat.
"Diharap masyarakat akan terdidik dengan lebih baik, bebas dari unsur-unsur mungkar serta menjadi contoh kepada umat sejagat dan generasi akan datang," katanya.
Biar pun hujan lebat membasahi Kota Bharu yang bermula jam 7.30 malam, namun masih ramai datang menyaksikan program tersebut yang ternyata berlainan berbanding tempat lain.
Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nassruddin Daud dan anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Tidak ketinggalan juga seramai 500 ahli Kelab Penyokong PAS dari beberapa negeri yang terdiri daripada kaum India hadir meraikan sambutan tersebut.
Program dimeriahkan lagi dengan perarakan 19 ekor kuda yang membawa piala Emas Raja-Raja diiringi 19 kereta klasik, 19 motosikal klasik dan 19 motosikal berkuasa tinggi.
"Angka 19 menggambarkan PAS telah mentadbir Kelantan selama 19 tahun bermula tahun 1990," kata Takiyuddin.
Wakil-wakil kaum iaitu, Cina, India dan Siam turut diberi peluang berucap. Kemudian Tuan Guru Nik Abdul Aziz membaca doa selamat.
Penonton juga dipersembahkan hiburan yang dikendalikan Akill Hayy dan Farah Dibba. Selain itu dikir barat oleh Kumpulan Sri Budi dan Zul Wisma, manakala Rabbani menyampaikan lagu nasyid.
Deklamasi sajak oleh Hadi Muhammad dan adik Afifi turut menyentuh perasaan. Bacaan ikrar oleh sekumpulan remaja dan selawat mega bergema menjelang detik 12 malam.
Dan tepat jam 12 malam azan dilaungkan Akill Hayy dan diakhiri pertunjukkan bunga api.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Johor, Logeswaran a/l Rahman berkata, beliau bersama rakan-rakan dari Selangor, Pahang, Melaka, Perak dan Pulau Pinang menyambut tahun baru di Kelantan.
"Kami sanggup datang ke Kota Bharu bagi meraikan tahun baru kerana kami beranggapan sambutan tahun baru di sini berlainan berbanding di negeri-negeri lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan