Khamis, 23 Oktober 2008

Jika DS Dr Rais membaca ayat ini... - Malaysiakini

1. Datuk Seri Dr Rais Yatim (DSDRY) berkata; "Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua. Kalau begitu Umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang.” Bernama memetik beliau berkata.

Komen.

Hebat DSDRY! Macam mohon projek nampaknya. Kalimat tersebut pernah disebut oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba pada awal 1990-an dulu. Ini menunjukkan pemimpin Melayu Umno banyak wang dan tidak miskin. Yang miskin mungkin ahlinya. Kasihanilah mereka. Kami tiada wang dan tiada projek. Kalau ada pun, kami ingin memajukan parti kami. Kalau saya ada wang, saya mahu memberi kepada murid buku Pasti percuma, menambah elaun guru, elaun pasukan pengurusan, membaiki prasarana dan lain-lain lagi. Kami menggunakan wang gaji sendiri untuk menjayakan program Pasti. Tidak percaya? Boleh tanya ALP kami.

2. "Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan. Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa. "

Komen.

a. Macam mana nak selesai? Tiada watak hero dan heroin dalam parti DS sebab mereka telah ‘dibunuh’ atau ‘terbunuh’. Dulu, saya ingatkan DS heronya. Rupanya bukan.
b. Wajarkah perkataan budaya, diguna pakai dalam konteks politik wang Umno ini? Saya merujuk Kamus Dewan sekali lagi untuk menentukan kewajarannnya. Kita belajar bahasa Melayu hari ini. Perkataan budaya itu membawa takrifan seperti berikut:
i. tamadun, peradaban
Adakah perbuatan politik wang atau rasuah itu satu perbuatan bertamadun atau ada peradaban? Tidak. Ia adalah alat meruntuhkan tamadun atau peradaban. Manusia bertamadun tidak menerima judi sebagai perbuatan bermaruah, begitu jugalah rasuah.
ii. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dsb)
Apa kemajuan fikiran atau akal budi yang ada pada orang yang rasuah? Mampukah mereka, pemberi atau penerimanya membawa kemajuan? Tidak mungkin. Oleh sebab tidak mampu memajukan diri dan masyarakatlah, maka dia melakukan rasuah.

Orang yang melakukan rasuah itu ada akal dan ada budikah? Bagi mereka yang mengatakan ‘ya’, maknanya mereka mengakui bahawa ‘perasuah telah menggunakan akal untuk berbudi kepada penerima rasuah.’

Oleh itu, perkataan budaya tidak sesuai diguna pakai dalam konteks rasuah politik Umno itu. Jadi, apakah istilah tepat menggantikan perkataan budaya itu?

Saya berpendapat perkataan yang sesuai ialah perkataan ‘membuayai’ sebab perkataan itu hampir sama fonetiknya tetapi berbeza maksudnya namun tepat kepada makna perlakuan rasuah itu. Membuayai bermaksud menipu dan mengakali. Kenapa perkataan ini? Mudah jawapannya. Masing-masing iaitu yang memberi rasuah dan menerima rasuah politik itu saling menipu dan mengakali. Tidak begitu? Fikir dan renungkan!

c. Macam mana ahli dan pemimpin ingin mengakuinya? DS menentang amalan itu sewaktu bersama Team B dan PMS46 dulu. Tahun 1996, rujuk semula secara ‘enblocked’. Sekarang, mereka tiada contoh untuk meneladani perjuangan orang terdahulu. Bagus juga meminta rakyat menghukum perbuatan terkutuk itu, sebelum Allah Taala menghukum ketika di akhirat nanti sebab pemberi dan penerima rasuah itu tempatnya di neraka. Sanggupkah di dunia kena hukum, di akhirat kena lagi?

3. Sebelum ini, Rais mendedahkan beliau diminta memberikan wang untuk mendapatkan undi bagi pencalonan jawatan naib presiden yang menjadi sasarannya dalam pemilihan Umno, Mac tahun depan.

Komen.

Soalan saya, DS beri atau tidak? Aaaaa….

4. Beliau, yang juga menteri luar, berkata "majoriti" ahli parti itu lebih berminat mengejar wang ketika kempen berlangsung sekarang daripada memilih pemimpin yang benar-benar layak, Malaysiakini memetik laporan agensi berita AFP.

Komen.

Mengeluh nampaknya pemimpin yang pernah ‘membakar jambatan kemudian membina jambatan lain untuk menuju puncak di seberang.’ Apa yang hendak dikeluhkan? Dalam pendidikan, ada teori pelaziman operan oleh Igor Pavlov. Nampaknya teori itu berkembang subur dalam parti DS. Mereka mungkin benar-benar tiada wang atau menjadikan musim pemilihan sebagai sumber pendapatan musiman yang lumayan. Bukankah itu ajaran pahlawan-pahlawan bangsa? Pilihanraya wang. Ketua kawal 10 (K10) wang. Tampal poster wang. Hadir mesyuarat wang. Semuanya wang. Demikianlah kesudahan yang sedang menimpa Umno.

Akhirnya, renunglah maksud ayat Al-Quran, surah an-Nur: 55 ini. “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal solih di kalangan kamu bahawa Ia akan menjadikan kamu khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Ia juga akan akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud, “Mana-mana pemimpin yang memusnahkan rakyat yang dipimpinnya, maka dia masuk neraka.” (Diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir daripada Ma’qal bin Yasir). Renungkanlah!

sumber : Cikgu Azrin

Tiada ulasan: