Terima kasih saya ucapkan kepada PLUS diatas diskaun yang diberikan kepada pengguna lebuhraya, tetapi bagi saya kaedah yang PLUS laksanakan sungguh tidak praktikal bagi pandangan peribadi saya. Bukan tidak bersyukur tetapi sebaliknya ianya hanya memberi keuntungan kepada sebilangan kecil pengguna lebuhraya dan kemungkinan kemalangan jalanraya akan meningkat berikutan kadar diskaun tersebut bermula pada jam 12 tengah malam sehingga jam 7 pagi.
Berikut adalah kenyataan dan pandangan dari sebilangan pengguna berhubung dengan isu ini. Harap selepas ini pihak PLUS dapat celik mata dalam isu ini. Cuma dari saya, jika benar mahu membantu pengguna lebuhraya, biarlah ikhlas..bukan mengemukakan syarat2 sedemikian rupa...
Diskaun PLUS tidak praktikal? - Utusan Meloyar
IPOH 18 Nov. - Orang ramai menyifatkan tawaran diskaun tol 10 peratus kepada pengguna kenderaan ringan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi sebagai tidak praktikal.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata orang ramai yang ditemui menganggap langkah PLUS itu tidak memberi kesan kepada keseluruhan pengguna.
Seorang pekerja swasta, Zulkifli Razali, 39, berkata, sekiranya PLUS benar-benar ingin menurunkan kadar tol, ia tidak sewajarnya untuk waktu tertentu sahaja.
''Saya rasa apa yang dilakukan oleh PLUS ini agak pelik. Kalau hendak turun bayaran tol, turunkan terus, tak payah kira siang atau malam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
PLUS hari ini mengumumkan semua pengguna kenderaan ringan yang melalui lebuh raya PLUS antara pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati 10 peratus diskaun tol.
Diskaun itu merupakan salah satu insentif yang diperkenalkan melalui Program Insentif Perjalanan PLUS bermula 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2010.
Seorang pekerja swasta, Sharifah Mazwin Syed Mohd. Salehhuddin, 31, pula berkata, langkah PLUS itu bakal mengundang lebih banyak kemalangan jalan raya.
Katanya, ini kerana memandu selepas tengah malam adalah berbahaya kerana kebiasaannya orang akan berasa mengantuk.
''Kalau sudah tengah malam, siapa hendak guna lebuh raya kerana ramai orang sudah tidur," katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Johari Ahmad Sudan, 32, berkata, PLUS sepatutnya memberikan tawaran diskaun tersebut pada waktu bekerja kerana ramai menggunakan lebuh raya pada masa tersebut untuk berulang-alik dari tempat kerja.
''Tawaran PLUS ini hanya akan menyusahkan pengguna kerana mungkin ada pengguna sanggup pulang lewat atau pergi kerja lebih awal semata-mata ingin berjimat cermat," ujarnya.
Azlin Abd. Aziz, 30, pula berkata, pemberian diskaun itu hanya menguntungkan segelintir kecil pengguna lebuh raya sahaja.
Katanya, insentif itu mungkin memberi manfaat kepada pengguna semasa musim perayaan kerana ramai lebih berminat menggunakan lebuh raya selepas tengah malam tetapi tidak pada hari biasa.
''Bagaimana pula dengan pengguna wanita yang takut memandu seorang diri selepas tengah malam kerana boleh membahayakan keselamatan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan