Jumaat, 6 Februari 2009

LAGI MANGSA KEGANASAN DI PLKN - Malaysiakini


Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putra Putri Taboh Naning, Alor Gajah dekat sini cedera dengan kesan lebam di muka, belakang badan dan kepala akibat dipukul oleh tiga pelatih lain di kem tersebut.

Mangsa, Asharizan Abu Bakar, 17, dari Tangkak, Johor, mendakwa dipukul dan dipijak akibat salah faham dengan seorang daripada tiga pelatih kem terbabit dalam kejadian yang berlaku semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semasa pelatih tersebut bersama dua rakannya berjumpa dengannya untuk menyelesaikan satu masalah.

"Dia mendakwa saya ada mengambil barangnya tanpa kebenaran. Tanpa banyak soal, mereka terus menumbuk muka, belakang kepala, dan memijak belakang badan saya," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka (HM) di sini hari ini.

Beliau dimasukkan ke HM malam semalam selepas dirujuk oleh Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut kira-kira pukul 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Sukan dan Belia negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman turut melawat Asharizan di hospital tersebut.

Jelas Asharizan, semasa kejadian terdapat beberapa lagi rakan lain turut menyaksikan insiden kira-kira 10 minit itu, namun tidak dapat berbuat apa-apa.

Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Omar, 44, melahirkan rasa kesal dengan insiden yang menimpa anak sulungnya itu.

"Sepatutnya di kem PLKN, mereka dapat melatih semua bersatu padu antara satu sama lain, bukannya berkasar begini.

"Bagaimanapun, anak saya bersetuju untuk menamatkan baki satu bulan latihan yang perlu dilalui," katanya sambil berharap anaknya dapat dipindahkan ke kem lain selepas ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya telah mengambil keterangan tiga pelatih berkenaan setelah laporan dibuat di Balai Polis Simpang Ampat.

Tiada ulasan: