Tidak timbul soal exco kerajaan Elizabeth Wong meletakkan jawatannya ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum, kecuali telah benar-benar terbukti bahawa beliau ada masalah moral, kata rakan sejawatannya di Selangor, Rodziah Ismail.
Secara peribadi, katanya, beliau tidak bersetuju wanita dijadikan objek dan agenda konspirasi politik.
Elizabeth membuat aduan polis tengah malam tadi berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum.
Beliau membuat laporan di balai polis Damansara, Petaling Jaya kira-kira jam 11 malam.
Difahamkan foto-foto yang dirakam tanpa kebenarannya itu - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.
Rodziah berkata, beliau tidak bersetuju 'serangan peribadi'
terhadap Elizabeth "sedangkan prestasinya sebagai exco dan ahli dewan undangan negeri (Adun) adalah baik".
Elizabeth juga merupakan Adun Bukit Lanjan, Selangor.
Rodziah yang juga exco kebajikan, hal ehwal wanita, sains, teknologi, inovasi dan kebudayaan, mempersoalkan mengapa foto-foto tersebut hanya timbul sekarang.
Beliau menyifatkannya sebagai satu konspirasi musuh-musuh politik Pakatan Rakyat.
Rodziah juga berkata, beliau tidak terkejut kerana sudah menjangka ia boleh berlaku.
Elizabeth menjadi sasaran kedua berkaitan dakwaan seks selepas serangan terhadap seorang wakil rakyat PAS, yang juga exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali yang didakwa ditangkap basah di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang.
Dr Halimah menafikannya, beliau membuat aduan polis hujung bulan lepas terhadap sebuah laman web pro-Umno berhubung penyiaran tuduhan tersebut.
sumber : Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan