Rabu, 8 April 2009

APABILA WANG, PROJEK, FITNAH DAN JANJI MANIS TIDAK BERKESAN LAGI

Oleh : Tulang Besi

Keputusan dua bukit sudah pun tersurat. Barisan Nasional kecundang sekali lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Yang lebih terguris dengan kekalahan ini ialah UMNO kerana termasuk Bukit Gantang, keputusan bagi UMNO adalah 0-3. Ini kerana selepas PRU 2008, UMNO telah bertanding di dalam 3 pilihanraya kecil: Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Dan UMNO telah kalah kesemua pertandingan tersebut.

Najib Menanggnung Pilu Yang Menikam Sukma

Tetapi yang lagi kecewa dan pilu dengan kekalahan ini ialah Najib Tun Razak. Sepanjang kempen ini, kelibat calon BN, Ismail Saffian, hampir tidak kelihatan. Ertinya, walaupun Ismail Saffian bertanding, Kalaulah tidak kerana calon BN itu duduk di sebelah Dr Mahathir sewaktu kedatangan Dr Mahathir ke Bkt Gantang, nescaya rakyat Malaysia akan terus tidak menyedari akan kewujudan calon BN tersebut.

Kenapa demikian? Kerana perlawanan Bukit Gantang ini adalah perlawanan antara Najib Tun Razak dengan YB Nizar Jamaluddin. Pilihanraya kecil ini adalah referendum ke atas Najib Tun Razak, Presiden UMNO yang baru serta PM Malaysia yang ke-6.

Sudah barang pasti Najib akan dihakimi melalui keputusan pilihanraya kecil ini. Mana mungkin tidak kerana bukankah Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Perak dengan cara yang amat jijik sekali?

Bukankah Najib Tun Razak yang telah melantik Menteri Besar haram, yakni wakil pos dari Pangkor, si Zambery?

Bukankah Najib yang bertanggungjawab menghalang persidangan DUN yang dipanggil oleh Speaker Perak yang sah sehingga terpaksa diadakan di bawah pokok?

Bukankah Najib yang telah mengugut Sultan Perak bahawa anak beliau, Raja Nazrin, akan dipastikan tidak menaiki takhta Perak sekiranya kehendak Najib Tun Razak tidak dipenuhi (mengikut dakwaan Raja Petra Kamaruddin dalam blog beliau, Malaysia Today)?

Dengan kata lain, bukankah Najib yang bertanggungjawab sepenuhnya di atas kemelut dan krisis perlembagaan yang sedang melanda negeri Perak?

Maka, pilihanraya kecil ini sepatutnya menjadi medan penghakiman terhadap segala tindakan Najib Tun Razak terhadap negeri berdaulat yang bernama Perak Darul Ridzuan. Rakyat Perak di Bukit Gantang telah menghakimi Najib Tun Razak dan mendapati Najib Tun Razak bersalah!!!.

Umno Bergantung Kepada Fitnah Semata-Mata

Seperti di Permatang Pauh, kita melihat bahawa UMNO telah bergantung kepada fitnah semata-mata dalam kempen ini. Sepanjang kempen Bkt Gantang, tiada isu yang dimainkan UMNO selain isu derhaka, hubungan PAS-DAP dan pemberian geran tanah 999 tahun.

Kita yang mendapat maklumat dari internet ini semua maklum bahawa ketiga-tiga isu ini adalah fitnah semata-mata. Misalnya, isu hubungan dgn DAP, PAS tidak pernah mengorbankan prinsip sepanjang menjalin hubungan dengan DAP. Saya nak tanya puak-puak UMNO sekelian, sewaktu demonstrasi memprotes Forum Murtad BAR Council tempohari, mengapa demonstran yang datang tersebut 80% dari PAS? Di manakah kamu wahai ahli/pendokong UMNO sekelian sewaktu demonstrasi tersebut?

Dalam isu hudud, PAS jelas mempertahankan dasar PAS menegakkan syariat Islam bagi orang Islam di Malaysia secara total, manakala UMNO melalui lidah Ketua Pemuda mereka, saudara Khairy Jamaluddin, secara terbuka menolak Undang-Undang Syariah Islam kerana mengikuti pendirian yang
mengikuti pendirian yang diambil oleh Barisan Nasional.

Dengan kata lain, seluruh masej UMNO di Bukit Gantang adalah fitnah semata-mata. Tidak ada bukti dan tidak ada asas langsung di atas tuduhan mereka.

Ini kerana UMNO masih lagi berfikir yang orang-orang Melayu masih bodoh dan tidak mampu berfikir serta mudah diperkotak-katik kan. Malang seribu kali malang, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Orang melayu sudah mulai pandai dan sudah mulai menilai antara intan dan kaca.

UMNO Bernasib Baik PAS Mengambil Sikap Bertahan

Sebenarnya UMNO bernasib baik kerana bersikap ”bertahan” sepanjang kempen Bkt Gantang ini. Jikalau sayalah yang bertanggungjawab terhadap kempen tersebut saya akan menjawab tuduhan UMNO dengan serangan juga.

Misalnya, UMNO menuduh PAS mengamalkan”Islam-DAP”. Saya akan jawab UMNO pula mengamalkan ”Islam Tokeh Judi”. Bukankah Najib Tun Razak di bulan pertama beliau menjadi Menteri Kewangan telah meluluskan 10 lesen judi yang baru?(Boleh baca laporan Business Times Singapore
di sini ..

Ertinya, sekiranya hina sangat PAS kerana menjalin hubungan dengan DAP, bagaimana dengan UMNO yang tidur sebantal dengan tokeh2 judi di Malaysia? Mana lebih hina, DAP atau tokeh judi?

Saya yakin sekiranya PAS mengambil sikap menyerang dan tidak bertahan, pos UMNO akan kosong dua-tiga hari sebelum pilihanraya seperti di Kuala Terengganu.

Nizar Adalah Pemimpin Mutlak Negeri Berdaulat Bernama Perak Darul Ridzuan

Keputusan Bukit Gantang ini mengesahkan bahawa YB Nizar Jamaluddin adalah pemimpin mutlak yang sah kepada negeri berdaulat Perak Darul Ridzuan.

Bukit Gantang bukan kawasan beliau. Beliau tidak pun berdaftar untuk mengundi di Bukit Gantang. Lawan beliau, Ismail Saffian, adalah anak jati kelahiran Bukit Gantang dan beliau mengundi di Bukit Gantang.

Secara logiknya, sepatutnya YB Nizar ditolak oleh pengundi Bukit Gantang kerana beliau bukan orang asal Bukit Gantang. Tetapi, oleh kerana YB Nizar adalah pemimpin tulin Perak, dan Perak itu termasuklah juga Bukit Gantang, maka YB Nizar telah mendapat kepercayaan tulin dari rakyat Bukit Gantang berbanding anak jati Bukit Gantang, Ismail Saffian.

Faktor anak jati ini juga yang telah menyebabkan undi Melayu kepada BN naik sedikit berbanding 2008. Kaum keluarga, jiran tetangga, kenalan, sahabat taulan Ismail Saffian yang duduk di Bukit Gantang tentulah akan mengundi beliau.

Penutup

Keputusan Bukit Gantang bererti PAS sudah menjadi Parti yang di tengah. UMNO pula telah menjadi parti hidung tak mancung pipi tersorong sorong.

PAS mesti mencari jalan untuk meningkatkan sokongan pengundi Melayu seluruh Perak di samping harus belajar bagaimana untuk menumpulkan fitnah UMNO/BN.

PAS Perak mesti berhenti dari bersikap ”bertahan” di atas segenap fitnah dan mehnah yang diungkapkan oleh UMNO. Mulai sekarang PAS Perak harus menyerang dan terus menyerang UMNO/BN.

UMNO telah kehabisan modal. Barisan kepimpinan baru mereka tidak sedikit pun menarik perhatian rakyat jelata. Kemasukan Dr. Mahathir Muhd. Iskandar Kutty bakal menjauhkan orang Melayu kepada UMNO lagi. Bukankah sebab itu yang telah menyebabkan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dahulu, yakni memenangi kembali sokongan orang Melayu yang telah hilang angkara pemfitnahan ke atas Anwar Ibrahim?

Ini peluang keemasan PAS dan PR untuk menjadi pemimpin kepada Malaysia dan merampas tampuk pemerintahan Malaysia.

Tulang Besi

Tiada ulasan: