Rabu, 5 Januari 2011

EKSPERIMEN RAKYAT MEMILIH PAKATAN RAKYAT PADA PRU 2008 ADALAH TEPAT

Gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat jangan membuat ekperimen dalam politik untuk menukar kerajaan yang sedia ada, kerana ia akan mendatangkan masalah kepada rakyat pada masa akan datang. PAS berpandangan ucapan Datuk Seri Najib sempena tahun baru 2011 satu pemikiran ke belakang bukan kehadapan walaupun beliau ini terkenal degan slogan retorik, namun dalam tindakan beliau masih berfikiran sempit seolah-olah negara ini hanya boleh ditadbir oleh BN sahaja.

PAS hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, tugas pemimpin ialah berfikir untuk menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat. Gaji yang sudah lumayan diberikan kepada kepada pemimpin negara adalah wajar dibalas balik dengan merangka strategi untuk kebaikan rakyat bukan sebaliknya.

PAS berpendapat rakyat yang membuat eksperimen untuk menukar kerajaan negeri dalam Pilihanraya Umum 2008 dahulu adalah tepat. Kebahagiaan rakyat yang dapat diukur seperti banyak program-program kebajikan untuk rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah untuk warga emas, bantuan sekolah agama rakyat, Tamil dan Cina, bantuan kemasukan universiti, walaupun menghadapi kekangan kewangan di peringkat negeri. Kesemua ini tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno sepanjang 53 tahun memerintah. Jika pemikiran yang ada pada pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini rakyat tidaklah susah sebegini rupa dengan tekanan hidup yang teruk, kuasa membeli semakin menurun, kualiti hidup sudah merosot.

Apakah salah rakyat membuat eksperimen untuk beralih pemerintah yang selama ini mengkhianati amanah rakyat? Akibat rakyat masih belum buat ekperimen untuk menumbangkan Barisan Nasional di peringkat pusat maka rakyat dibeban dengan cukai perkhidmatan 6% daripada 5%. Barang makanan naik 10%, Persatuan Peniaga Kedai Kopi Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menaikkan kopi dan teh susu sebanyak 20 sen mulai 1 Jan 2011. Apabila barang naik menteri cuba hendak tunjuk hero bela rakyat dan marah kepada peniaga, pada hal yang buat fasal ialah pemimpin BN yang bertindak menaikkan minyak petrol walaupun negara kita pengeluar minyak.

Eksperimen yang dibuat oleh rakyat sehingga menumbangkan kerajaan BN telah menyebabkan pelabur asing yakin dengan kemampun kerajaan Pakatan Rakyat, buktinya pada
21 Okt 2010 - Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui "Negeri yang paling tinggi menerima kemasukkan FDI adalah Selangor dengan pelaburan sebanyak RM5.66 bilion, yang kedua tinggi adalah Johor iaitu di bawah kerajaan Umno-BN, yang ketiga dan keempat adalah Pulau Pinang dan Kedah manakala Perak pula di tempat yang kelima”.

PAS hendak berpesan kepada Presiden Umno sudah cukuplah Umno BN mengkhianat amanah rakyat, dan janganlah ugut rakyat, mereka sudah mempunyai jiwa merdeka dan tahu beza mana kerajaan yang amanah dan kerajaan yang bernanah.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: